:: Tribulasi bagi RIJAL AD-DA'WAH?? ::



Bolehkah Kita Mengelakkan Tribulasi atau Mengurangkan Tekanannya atau Mengelakkannya Merupakan Penyelewengan dari Jalan Dakwah?

Ada orang menggambarkan bahawa dengan sedikit berpolitik, diplomasi dan menggunakan kecerdikan dan perlaksanaan yang baik dapat mengelakkan ujian dan bencana dari menimpa para pendokong dakwah dan memimpin para pendokong dakwah serta menjauhkan mereka dari bencana dan siksaan yang sangat dahsyat dari musuh-musuh Allah dan dari terus menimpa mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan dan memendekkan masanya.

Adakah pendapat ini benar dan tepat?

Benarkah mereka boleh berbuat demikian selagi mereka berpegang teguh dengan dakwah mereka?

Marilah kita mencari jawapan yang sahih terhadap persoalan ini. Marilah kita lihat sirah RasuluUah s.a.w. yang kita ikuti jejak langkahnya dan berjalan di atas jalannya. Kita semua mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh membawa kebaikan kepada orang-orang yang beriman, sangat pengasih dan sayang kepada mereka dan bersusah hati di atas kesusahan mereka sebagaimana yang disifatkan Allah Taala tentang baginda:

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin". AtTaubah: 128

Rasulullah s.a.w. sendiri terdedah kepada pelbagai rupa ujian penyiksaan hinggakan baginda sendiri melihat mukmin mengalami rupa penyeksaan dari pihak kafir Quraisy. Sekiranya Rasulullah mampu membuat sesuatu untuk menghalang penyiksaan kaum Musyrikin ke atas mukminin dan melindungi mereka, nescaya baginda berbuat demikian. Namun, baginda hanyalah mewasiatkan supaya mereka bersabar, bertahan di atas akidah mereka, menggembirakan mereka dengan syurga, dengan pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan agama Allah. Baginda bersabda kepada mereka.

"Bersabarlah sungguh-sungguh hai keluarga Yasir kerana sesungguhnya janji mu ialah syurga". Imam Bukhari rahmatullah telah meriwayatkan dari Qais berkata: “Aku telah mendengar Khabab r.a berkata: Aku telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sedang baginda berbantalkan burdadi bawah naungan Kaabah. Ketika itu kami sedang menerima penyiksaan yang keras dari kaum musyrikin lalu dia berkata: Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah? Lalu Rasulullah s.a.w. duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda: Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi yang mencakar-cakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalingkan muka dari agama mereka. Kepala mereka digergaji hingga terbelah dua. Ini tidak memalingkan mereka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah akan menyempumakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari San'a di Yaman ke Hadramaut tanpa rasa takut kecuali hanya kepada Allah dan hanya bimbangkan serangan serigala ke atas kambing-kambingnya. Tetapi kamu ini hendak mencapai kemenangan dengan segera".

Demikianlah kita mendapati Rasulullah, walaupun sangat sedih dan dukacita melihat orang-orang yang beriman ditimpa bencana dan seksaan dari kaum Musyrikin, baginda murka apabila diminta supaya berdoa' kepada Allah bagi mereka. Ini adalah bertujuan mendidik mereka supaya mereka tahu bahawa ujian dan bencana itu bukanlah perkara baru dan asing dan itu adalah sunnah Allah, undang-undang Allah yang pasti berlaku ke atas orang-orang yang beriman dan pasti berlaku di atas jalan dakwah Islam, sebagaimana yang telah dialami oleh orang-orang mukmin sebelum mereka.

Oleh kerana itu, hendaklah mereka bersabar sebagaimana sabarnya mukminin sebelum mereka, bersabar dengan penuh tenang dan yakin bahawa kemenangan akhirnya akan menjadi milik mereka. Allah akan menyempumakan urusan Islam itu dan menegakkan kedaulatannya di muka bumi sekalipun bagaimana besar dan banyaknya tipu daya musuh-musuh Allah.



petikan dari JALAN DA'WAH (Syeikh Mustafa Masyhur)

0 Comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
Template by - Abdul Munir - 2008